Posted by: mrmx3 | Februari 12, 2010

Buat Tatapan Para Pembaca ( Renungan Terakhir )

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang

Assalamualaikumwarahmatullah kepada sekelian kaum muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Maha suci Allah, segala pujian hanya bagi Allah s.w.t. yang memiliki segala kebesaran dan kesempurnaan selaku Pencipta dan Penguasa kepada seluruh alam. Selawat dan salam keatas junjungan besar kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w. ahli keluarga baginda serta para sahabat baginda sekeliannya.

Alhamdulillah, bersyukur kita kepada Allah s.w.t. kerana dengan limpah kurnia serta izinnya kita masih dapat menikmati kehidupan bagi melaksanakan amanah sebagai khalifah diatas muka bumi yang telah diciptakan oleh Allah ini. Lakukanlah tugas dan amanah Allah itu dengan sebaik yang mungkin selagi kita masih diberi masa dan ruang oleh Allah dengan umur yang kita sendiri tidak pasti bilakah penghujungnya sehingga kita semua dipanggil kembali kehadrat Allah Robbul Jalil. Sesungguhnya amat banyak peringatan dari Allah s.w.t. didalam Al Quran agar manusia tidak terpedaya dengan kehidupan duniawi yang terlalu sementara ini dan banyak juga peringatan dari Allah agar kita bersungguh-sungguh melakukan persediaan untuk menghadapi kehidupan akhirat yang kekal abadi. Oleh yang demikian jadikanlah apa yang hendak disampaikan disini sebagai amalan berpesan-pesan dan saling ingat-mengingati kearah mencari keredhaan Allah.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Isu penggunaan kalimah Allah di negara kita Malaysia telah menjadi semakin hangat ekoran keputusan mahkamah yang telah membenarkan penggunaan nama Allah oleh penganut kristian katolik dalam penerbitan majalah mereka sehingga menimbulkan suasana yang kurang selesa serta boleh menggugat ketenteraman awam. Melalui media elektronik kita dapat melihat sekumpulan umat Islam yang membantah keputusan mahkamah tersebut dengan berdemonstrasi dan melaungkan takbir disamping slogan-slogan untuk mempertahankan bahawa kalimah Allah adalah hak mutlak umat Islam sahaja. Ketika berdemonstrasi kita dapat melihat umat Islam yang rata-ratanya berbangsa melayu dengan penuh semangat telah menzahirkan rasa kasih mereka kepada nama Allah dan banyak pula menyebut nama Allah. Persoalannya adakah nama Allah yang kita cuba pertahankan itu hanya akan kita gunakan pada waktu-waktu yang tertentu sahaja dan adakah nama Allah yang kita laungkan pada ketika itu benar-benar telah tersemat didalam lubuk hati kita ataupun ianya hanya sekadar dibibir sahaja?…sedangkan diwaktu yang lain kita lebih gemar menyebut panggilan yang bukan nama bagi Allah iaitu menyebut tuhan dan tuhan…kerana menganggap Allah dan tuhan adalah sama.Jika kita anggap Allah dan tuhan itu adalah sama mengapa tidak ada peserta demonstrasi yang menyebut tuhan didalam slogan dan laungan mereka?

Sebelum ini kami telah cuba untuk menjelaskan dan memperingatkan kepada pemimpin- pemimpin Islam, pihak berkuasa agama Islam serta umat Islam di dalam negara ini dengan menghantar artikel yang bertajuk ” Memahami Allah s.w.t. Dan Tuhan Yang Kita Kenali ”. Sila rujuk laman web (https://cahayahikmah.wordpress.com/). Matlamat utama dari penyebaran artikel tersebut adalah supaya umat IsIam dapat mengenali, memahami dan membezakan diantara Allah sebagai Rabb atau Penguasa kepada seluruh alam ini sedangkan tuhan pula merupakan sesuatu yang tidak layak untuk dijadikan gelaran atau panggilan kepada Allah. Artikel tersebut juga menyeru dan mengajak umat Islam di Malaysia khususnya supaya banyak menyebut nama Allah kerana sememangnya kita umat Islamlah yang paling berhak untuk menggunakan nama Allah kerana hanya Islam agama yang diredhai Allah. Kita perlu buktikan dakwaan kita itu dengan tidak lagi menyebut tuhan sebaliknya gunakanlah nama Allah secara meluas didalam seluruh aktiviti kehdupan kita samada melalui perbualan, penulisan dan sebagainya. Kami menyeru umat Islam agar banyak mengingati Allah dengan kerap menyebut namaNya supaya kita benar-benar layak untuk menjadi pembela kepada nama Allah. Apalah ertinya jika kita beriya-iya membantah orang bukan Islam menggunakan nama Allah sedangkan kita sendiri tidak mahu melazimkan menyebut nama Allah kerana kita lebih selesa menyebut perkataan tuhan dari nama Allah itu sendiri.

Didalam artikel tersebut juga telah dijelaskan bahawa perkataan tuhan membawa maksud yang tidak baik dan tidak layak bagi Allah yang maha Esa. Tetapi berapa ramaikah dari kalangan penerima artikel tersebut yang benar-benar mengambil berat dan dapat memahami apa yang ingin kami sampaikan itu dengan serius? Adakah penerima artikel tersebut telah membaca keseluruhan kandungan yang ingin disampaikan atau hanya membaca sebahagian darinya kemudian melontarkannya ke dalam tong sampah kerana menganggap ia sesuatu yang tidak penting dan jauh sekali untuk mendatangkan keuntungan? Harapan kami selepas penyebaran artikel tersebut semoga umat Islam akan lebih kerap untuk menyebut nama Allah, malangnya pihak berkuasa agama yang diharapkan untuk menjadi pemangkin kepada perubahan tersebut sendiri telah tidak mengendahkannya. Perkataan tuhan masih juga digunakan oleh kebanyakan umat Islam dan para ilmuan Islam sendiri apabila terus menterjemahkan perkataan Rabb sebagai tuhan sedangkan kita dapat melihat melalui media elektronik kenyataan penganut hindu yang juga menyebut tuhan bagi merujuk dewa-dewa mereka yang telah disiarkan di peti televisyen ketika perayaan thaipusam baru-baru ini.

Mengapa kita sanggup menyebut perkataan yang juga digunakan oleh penganut agama lain jika benar kita mentauhidkan Allah? Jika umat Islam ada tuhan, kristian ada tuhan dan hindu juga ada tuhan, berapa banyak sebenarnya bilangan tuhan? Bukankah Allah itu esa dan tiada bandingan baginya? Amat tidak layak untuk menggelarkan Allah sebagai tuhan sebagaimana agama-agama lain itu. Ketika membaca talqin di kubur ungkapan ” Marobbuka.. masih diterjemahkan sebagai ”Siapa tuhan kamu ?…” malah melalui mimbar jumaat, khutbah yang disampaikan untuk membicarakan tentang akidah dan tauhid kepada Allah menjadi semakin galak untuk menyatakan bahawa Allah itu adalah tuhan dan bersifat dengan sifat ketuhanan sedangkan telah ditegaskan bahawa Allah merupakan Rabb ( Pengatur ) atau Ilah ( Yang berhak disembah dengan sebenarnya ) yang memiliki segala sifat kesempurnaan sebagai Al Khaliq ( Pencipta ). Melihat keadaan ini seolah-olah tiada siapa yang dapat diharapkan untuk melakukan sesuatu bagi mensucikan nama Allah. Walaubagaimanapun kami tetap bertawakkal dan menyerahkan segala urusan itu kepada Allah kerana sesungguhnya Allah Maha Mengatur akan segala sesuatu dan hanya Allah s.w.t. yang dapat memberikan hidayah kepada sesiapa yang dikehendaki.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Meskipun pihak berkuasa agama Islam dan sebahagian umat Islam tidak mahu memikirkan tentang artikel yang telah dihantar itu sesungguhnya takdir Allah yang telah menjadikan isu kalimah Allah di bumi Malaysia ini menjadi hangat seharusnya wajar kita renungi bersama. Sesuatu yang berlaku itu mempunyai sebab dan musababnya. Walaupun kita tidak mahu memikirkan tentang artikel yang mengajak untuk banyak menyebut nama Allah tetapi Allah telah menjadikan Nama Nya tetap meletup di bumi Malaysia ini sehingga kita menjadi semakin kalut dan sibuk untuk memikirkan apakah jalan penyelesaiannya apabila agama lain menuntut untuk menggunakan nama Allah. Mengapa Allah menentukan penganut kristian menang dalam tuntutan mereka di mahkamah? Dapatkah kita fahami apakah rahsia dan mesej yang hendak disampaikan oleh Allah kepada kita? Bagaimanakah pula jika agama sikh atau hindu juga menuntut untuk menggunakan nama Allah?

Wahai Umat Islam di akhir zaman, insaf dan akurlah bahawa selama ini kita telah tidak menggunakan nama Allah sepenuhnya didalam kehidupan kita dimana kita lebih banyak meyebut tuhan..tuhan..dan tuhan.. Bagaimana kita ingin menjadi pejuang untuk mempertahankan nama Allah jika nama Allah tidak benar-benar sebati didalam hati dan jarang sekali nama Allah meniti dibibir kita dimana kita banyak menyebut tuhan dikebanyakan waktu ? Setelah peringatan disampaikan dan kita masih juga tidak mahu juga menerimanya apakah erti kemarahan kita itu apabila Allah telah menentukan kemenangan kepada pihak kristian untuk menggunakan nama Allah. Kemenangan mereka itu bukanlah bermakna Allah telah redha terhadap agama mereka tetapi fahamilah bahawa ia seolah-olah satu sindiran dari Allah kepada kita kerana kita sendiri tidak mahu menjadikan sebutan nama Allah sebagai kelaziman yang patut dibanggakan dan diutamakan kerana kita lebih gemar menggunakan perkataan tuhan.Akibat dari itu telah timbul kecelaruan dikalangan ulama dan pemimpin-pemimpin dan umat Islam keseluruhannya di dalam negara ini dengan pendapat mereka yang berbeza-beza.

Di dalam isu kalimah Allah ini marilah kita cuba melihat beberapa hujah yang telah dikemukakan didalam perdebatan diantara kumpulan Islam dan Kristian yang telah disiarkan melalui media cetak di dalam negara kita. Ada dikalangan golongan Islam yang mencabar golongan kristian supaya membuktikan dimanakah kebenarannya perkataan God yang terdapat didalam kitab injil yang mereka gunakan adalah merujuk kepada Allah. Namun begitu bagaimanakah jika pihak kristian pula meminta umat Islam membuktikan bahawa nama Allah atau perkataan Rabb yang terdapat didalam Al Quran itu adalah merujuk kepada tuhan?, sedangkan perkataan tuhan adalah bersifat baru dan ia hanya merupakan terjemahan didalam bahasa melayu yang sengaja diadakan oleh manusia sepertimana juga perkataan god yang digunakan oleh pihak kristian. Perkataan tuhan dan god sebenarnya tidak layak untuk dirujuk kepada Allah dan ia juga tidak relevan apabila dijadikan hujah diantara kedua-dua pihak kerana kedua-dua perkataan tersebut hanyalah sesuatu yang ditentukan mengikut persepsi masing-masing. Bekas Pemimpin sendiri telah memberikan pendapat bahawa perkataan god dan tuhan tidak boleh dirujuk kepada Allah kerana beliau memahami kedua-dua perkataan tersebut hanyalah rekaan dan tanggapan manusia semata-mata.

Jika umat Islam beranggapan perkataan god yang digunakan oleh pihak kristian tidak boleh dirujuk kepada Allah, adakah kita pula merasa benar-benar yakin bahawa perkataan tuhan itu diterima oleh Allah sebagai ganti kepada nama Allah? Jika kita sendiri tidak pasti dan tidak yakin terhadapnya tidak perlulah lagi menggunakan perkataan tuhan itu. Umat Islam perlu berusaha untuk menggunakan nama Allah dengan panggilan yang sebenarnya atau nama-namaNya yang terdapat didalam Asmaul Husna atau gantikan panggilan kepada Allah itu sebagai Pencipta, Pengatur, Penguasa, Pentadbir, Rabb atau Tuan yang empunya seluruh alam ini kerana ia lebih baik dan lebih tepat.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Mengapakah dikalangan umat Islam sendiri tidak sependapat didalam isu kalimah Allah ini dimana pihak Istana Negeri Selangor telah tidak membenarkan orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di dalam Negeri tersebut sedangkan Kerajaan Negeri Kelantan pula tidak menghalang untuk orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah di negeri tersebut. Pertikaian diantara dua orang YB. serta fatwa yang telah dikeluarkan oleh seorang Ulama’ yang terkenal di negara kita ini juga telah menambahkan lagi kekalutan pemikiran dikalangan umat Islam itu sendiri. Adakah pendirian yang mereka ambil itu selaras dengan petunjuk Allah s.w.t? Adakah kita pasti bahawa Allah menghukumkan salah jika orang bukan Islam hendak menyebut nama Allah sedangkan mereka juga sememangnya adalah makhluk ciptaan Allah jua. Adakah kita mahu mereka menjawab nama selain Allah jika kita tanyakan kepada mereka siapakah pencipta langit dan bumi sedangkan Al Quran sendiri telah menjelaskan bahawa jika ditanyakan kepada mereka siapakah yang mencipta langit dan bumi sudah tentu mereka akan menjawab bahawa Allah yang yang telah menciptakan semuanya.

Didalam sirah  Rasulullah baginda sendiri tidak pernah melarang orang yang bukan Islam untuk menyebut nama Allah. Ini bermaksud tidak menjadi kesalahan untuk mereka menggunakan nama Allah, cuma cara bagaimanakah mereka menggunakan nama Allah itu yang menjadi persoalan. Adakah mereka menerima dan mengakui akan kebenaran Al Quran dan syariat yang dibawa oleh Nabi Muhammad s.a.w. ? dan mengapa mereka tidak mentauhidkan Allah apabila beri’tikad bahawa Isa Al Masih sebagai anak Allah kerana yang demikian itu merupakan satu pendustaan yang besar terhadap Allah s.w.t. Umat Islam perlu memahami isyarat yang telah diberikan melalui hadis Nabi Muhammad s.a.w. bahawa diakhir zaman seperti pada masa ini tiada lagi peperangan senjata seperti zaman baginda dimana peperangan kita pada waktu ini adalah menggunakan hujah dan dalil.

Inilah waktunya kita memerlukan peranan para ulama Islam untuk bersemuka, berdialog, berhujah dan mengajukan persoalan kepada mereka. Mengapa mereka tidak mahu menerima kebenaran Nabi Muhammad s.a.w dan Al Quran jika benar mereka percaya kepada Allah kerana perkara tersebut ada dinyatakan didalam kitab injil yang sebenarnya. Para Ulama Islam perlu bersemuka dan berhujah dengan mereka sebagai satu usaha dakwah dan jihad dijalan Allah, mudah-mudahan mereka diberi hidayah oleh Allah s.w.t. untuk menerima Islam dan selebihnya kita serahkan kepada Allah yang Maha Berkuasa keatas segala sesuatu.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Kami amat bersyukur kepada Allah s.w.t kerana diketika kami menyeru umat Islam untuk memperbanyakkan menyebut nama Allah, tiba-tiba kedengaran di Dewan Parlimen Malaysia saranan yang dikemukakan oleh Y.B. Dato Seri Presiden yang meminta Kerajaan Malaysia menukarkan Kepercayaan kepada tuhan di dalam Rukunegara kepada Kepercayaan kepada Allah. Tindakan beliau ini amat dialu-alukan kerana ia amat bersesuaian dengan senario yang sedang berlaku di Malaysia pada ketika ini, dimana apabila telah ramai orang yang dapat menerima nama Allah maka inilah waktu dan ketikanya untuk kita menjulang dan meletakkan nama Allah ditempat yang sewajarnya. Sebagai umat Islam yang telah mengucapkan dua kalimah syahadah kita sebenarnya tiada pilihan melainkan wajib menyokong apa yang telah dikemukakan oleh Y.B. Dato Seri Presiden itu jika memang benar kita mengaku beriman kepada Allah.

Ini merupakan satu contoh yang amat wajar dilakukan oleh para ulama pada masa kini dimana Y.B. Dato Seri Presiden telah bertindak secara dinamik dan realistik menurut situasi semasa sebagaimana yang diharapkan. Tahniah diucapkan kepada Y.B. Dato Seri Presiden diatas tindakan beliau itu walaupun cadangan tersebut dibantah oleh seorang YB. yang bukan beragama Islam dan juga seorang bekas pemimpin. Tidak menghairankan jika YB. yang bukan beragama Islam membantah cadangan tersebut kerana kita sedia maklum akan diri beliau itu, akan tetapi sebagai umat Islam lebih-lebih lagi seorang bekas pemimpin yang beragama Islam yang telah memperkenalkan ”Konsep Islam Kesederhanaan” pada suatu ketika dahulu bantahan beliau dilihat amat tidak wajar kerana perkataan tuhan ingin dipertahankan semata-mata hanya kerana ingin berpegang kepada semangat dan prinsip sewaktu rukunegara itu hendak dibuat pada suatu ketika dahulu tanpa meletakkan Allah dan nama Nya sebagai keutamaan melebihi yang lain.

Adakah kita ingin  termasuk dikalangan orang yang hatinya berpenyakit iaitu menjadi sangat benci dan tidak suka apabila disebutkan nama Allah ? Dimanakah iman dan kecintaan kita kepada Allah? Adakah kita pula yang menjadi penentang apabila nama Allah hendak dinobat dan disemarakkan ? Apakah kedudukan kita menurut pandangan Allah diatas apa yang telah kita lakukan diatas muka bumi Nya ini…?. Fikir dan renungkanlah. Jika perkataan tuhan berjaya digantikan dengan nama Allah didalam rukunegara, insyaallah ia juga merupakan satu kaedah yang menepati Gagasan Satu Malaysia seperti yang diasaskan oleh Perdana Menteri apabila satu Malaysia akan menyebut nama yang satu iaitu Allah ketika membaca rukunegara atau ketika menyanyikan lagu negaraku. Apabila nama Allah banyak disebut mudah-mudahan juga Allah s.w.t. akan melimpahkan lagi rahmat dan kasih sayangnya dengan membukakan lebih banyak lagi pintu hidayahNya kepada manusia di zaman mutakhir ini untuk menerima Islam dan mentauhidkan Allah.

Janganlah kita berperasangka buruk dan mendahului Allah dalam perkara yang kita tidak pasti dengan kebimbangan-kebimbangan kononnya musuh Islam akan mengambil kesempatan untuk mengelirukan umat Islam jika orang bukan Islam menggunakan nama Allah kerana yang demikian adalah termasuk didalam urusan Allah yang Maha Berkuasa keatas segala sesuatu. Bertawakkal, yakin dan ikhlaslah kepada Allah bahawa kita sedang berusaha untuk membela nama Allah untuk dijunjung dan dimartabatkan. InsyaAllah, Allah akan memelihara kita dan juga agamaNya. Sebagai umat Islam kita sewajarnya telah mempunyai asas tauhid yang kukuh sebagai syarat beriman kepada Allah dan kita tidak perlu bimbang kerana kita telah kenal akan Allah dan kita hendaklah menerangkan dan memperkenalkan pula Allah yang kita sembah kepada orang yang bukan Islam dengan kaedah dakwah yang bijaksana lagi berhikmah.

Muslimin dan muslimat yang dirahmati Allah,

Didalam artikel yang terdahulu, kami telah mengajak umat Islam untuk melakukan perubahan dengan banyak menyebut dan menggunakan nama Allah secara meluas. Marilah kita menyokong sesiapa sahaja tidak kira samada individu atau organisasi yang berjuang dan berusaha untuk menjunjung dan meletakkan nama Allah bukan saja di Malaysia bahkan di seluruh pelusuk dunia untuk nama Allah yang agung itu diingat dan sebut oleh seluruh makhluknya. Jika benar kita adalah orang yang ingin mempertahankan kalimah Allah sebagaimana yang kita tunjukkan didalam demonstrasi yang telah kita lakukan maka kita perlu berusaha dan berjuang juga untuk menggantikan perkataan tuhan yang terdapat didalam prinsip rukun negara dengan nama Allah. Jika benar kita memang mencintai dan sayang kepada nama Allah maka buktikanlah dengan menukarkan perkatan tuhan yang terdapat didalam lagu negaraku dengan nama Allah. Jika kita adalah karyawan seni yang menghasilkan lirik lagu, maka gunakanlah nama Allah sebanyak-banyaknya supaya hati-hati manusia menjadi lunak dan insaf kerana mendengar nama Allah.

Tanpa kita sedar selama ini kita telah mengabaikan Allah, kita lupa kepada nama Allah kerana terlalu asyik menyebut tuhan sehingga kita dikejutkan dengan isu yang ditimbulkan oleh penganut kristian barulah kita tersentak untuk kembali menyebut nama Allah dan mempertahankan nama Allah. Umat Islam perlu berjuang untuk memartabatkan nama Allah dengan bersungguh-sungguh tanpa mempedulikan apa yang ingin diperkatakan oleh orang bukan Islam dengan berpegang teguh kepada ayat Al Quran didalam surah Al Kafirun yang bermaksud ” Katakanlah : Wahai orang-orang kafir, aku tidak menyembah apa yang kamu sembah. Dan kamu pula tidak menyembah apa yang aku sembah. Dan aku tidak beribadat sebagaimana kamu beribadat. Dan kamu pula tidak beribadat seperti kami beribadat. Bagi kamu agama kamu dan bagi kami agama kami.” Begitu juga kita hendaklah berpegang teguh dengan apa yang selalu kita sebut dan kita laungkan didalam takbir hari raya iaitu tuntutan supaya kita menjadi orang yang ikhlas kepada agama Allah walaupun dibenci oleh orang-orang kafir . Jika sebelum ini kita memberikan alasan nama Allah tidak sesuai digunakan kerana terdapat agama lain didalam negara ini, tetapi pada hari ini orang bukan Islam sendiri telah dapat menerima untuk menggunakan nama Allah, maka inilah masanya untuk kita bertindak dengan menggantikan perkataan tuhan didalam rukun negara dan lagu negaraku dengan nama Allah.

Muslimin dan muslimat muslimat yang rahmati Allah,

Marilah kita bersama-sama memohon pertolongan dari Allah s.w.t agar kita semua diberi petunjuk untuk tetap berada dijalan yang benar lagi diredhai Allah di dunia dan akhirat. Sekali lagi diingatkan disini untuk umat Islam memohon petunjuk dari Allah dengan melakukan solat istikharah bagi mendapatkan kepastian dan kebenaran tentang apa yang disampaikan disini dan juga artikel yang terdahulu. Mudah-mudahan apa yang cuba kami sampaikan disini benar-benar menjadi peringatan yang bermanfaat kepada orang-orang yang suka mengambil peringatan sebelum datangnya peringatan yang lebih hebat dari Allah sendiri. Semoga Allah s.w.t. juga menjadikan kita semua dikalangan hambaNya yang tetap bersyukur diatas segala kurniaan nikmatNya. Bertawakkallah diatas segala urusan yang kita hadapi sebagai khalifah di atas muka bumiNya ini dan bertaubat diatas segala dosa, kesalahan dan perbuatan yang kita lakukan di sepanjang hayat kita. Kami sudahi dengan ucapan wabillahi taufiq wal hidayah wassalamualikum warahmatullah.

Sekian,

Mensucikan Nama Allah
ilhamhikmah@gmail.com


Kategori

%d bloggers like this: