Posted by: mrmx3 | September 9, 2009

Tauhid ar-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah

Makna kalimah tauhid.

Kalimah tauhid membawa pengertian dan maksud mengetahui, berikrar, mengakui dan mempercayai bahawa sesungguhnya yang benar dan yang berhak disembah ialah Allah Subhanahu Wa Ta’ala (SWT) semata-mata. Selain daripada-Nya, sama sekali tidak benar dan tidak berhak disembah. Penghayatan kalimah itu meliputi berikrar dengan hati , menyatakan dengan lidah dan membuktikan dengan perbuatan.

Tauhid ar-Rububiyyah

Tauhid ar-Rububiyyah bermakna beri’itiqad bahawa Allah SWT bersifat Esa, Pencipta, Pemelihara dan Tuan sekalian alam.

Tauhid al-Uluhiyyah

Tauhid al-Uluhiyyah pula bermakna menjadikan Allah SWT sahaja sembahan yang sentiasa dipatuhi.

Pengertian lanjut Tauhid ar-Rububiyyah.

Antara pengertian kalimah Rabb ialah:

As-Sayyid (Tuan)

Al-Malik (Yang Memiliki)

Pencipta

Penguasa

Pendidik

Pengasuh

Penjaga

Penguatkuasa

Allah jua bersifat mutlak

Manusia, jika dia bersifat seperti memiliki dan berkuasa, maka sifatnya itu sementara. Segala sesuatu di alam ini kepunyaan Allah. Apa jua yang dimiliki makhluk hanyalah bersifat pinjaman dan Majaz (kiasan). Hanya Allah sebagai Rabb al-‘Alamin (Rabb sekalian alam) dan mempunyai segala sifat kesempurnaan. Dengan sifat-sifat-Nya yang Maha Sempurna mengakibatkan seluruh makhluk bergantung kepada-Nya, memerlukan pertolongan-Nya dan berharap kepada-Nya.

Manusia jika dia cerdik, bijak dan pandai, maka semuanya itu datang daripada Allah. Segala kekayaan dan penguasaan manusia bukanlah milliknya yang mutlak tetapi datang daripada Allah.

Manusia dijadikan hanya sebagai makhluk. Dia tidak memiliki apa-apa melainkan setiap kuasa, tindak-tanduk, gerak nafas dan sebagainya datang daripada Allah.

Dalil-dalil Tauhid ar-Rububiyyah

Banyak dalil menunjukkan bahawa Allah itu Maha Esa dan tiada sesuatu menyamai Allah dari segi Rububiyyah. Antaranya:

  1. Lihatlah pada tulisan di papan hitam, sudah pasti ada yang menulisnya. Orang yang berakal waras akan mengatakan bahawa setiap sesuatu pasti ada pembuatnya.
  2. Semua benda di alam ini, daripada sekecil-kecilnya sehinggalah sebesar-besarnya, menyaksikan bahawa Allah itu adalah Rabb al-Alamin. Dia berhak diatas semua kejadian di alam ini.
  3. Susunan alam yang mengkagumkan, indah dan tersusun rapi adalah bukti Allah Maha Pencipta. Jika alam boleh berkata-kata, dia akan menyatakan bahawa dirinya makhluk ciptaan Allah. Orang yang berakal waras akan berkata bahawa alam ini dijadikan oleh satu Zat Yang Maha Berkuasa, iaitu Allah. Tidak ada orang yang berakal waras akan menyatakan bahawa sesuatu itu boleh berlaku dengan sendirinya.

Begitulah hebatnya Ilmu Allah. Pandanglah sahaja pada kejadian manusia dan fikirkanlah betapa rapi dan seni ciptaan-Nya.

Terdapat seribu satu macam ciptaan Allah yang memiliki sifat yang berbeza-beza antara satu sama lain. Semuanya menunjukkan bahawa Allah adalah Rabb yang Maha Bijaksana.

Fitrah mengakui Rububiyyah Allah.

Berikrar dan mengakui akan Rububiyyah Allah adalah suatu perkara yang dapat diterima. Hakikat ini terlintas dalam setiap fitrah manusia. Meskipun sesorang itu kafir, namun jauh dilubuk hatinya tetap mengakui Rububiyyah Allah SWT.

Firman Allah SWT:

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakan Pencipta mereka? Nescaya mereka menjawab: Allah (Az-Zukhruf: 87)

“Dan jika kamu bertanyakan mereka tentang: Siapakah pencipta langit dan bumi? Nescaya mereka menjawab: Semuanya diciptakan oleh Yang Maha Perkasa dan Yang Maha Mengetahui.” (Az-Zukhruf: 9)

Tidaklah susah untuk membuktikan Rububiyyah Allah SWT. Fitrah setiap insan adalah buktinya. Manusia yang mensyirik dan mengkufurkan Allah juga mengakui adanya Allah Yanag Maha Pencipta.

Allah, Dialah Maha Berkuasa, mencipta, menghidupkan dan mematikan. Dia berkuasa memberikan manfaat dan mudarat. Jika Allah mahu memberikan manfaat dan kelebihan kepada seseorang, tiada siapa mampu menghalang atau menolaknya. Jika Allah mahu memberikan mudarat dan keburukan kepada seseorang seperti sakit dan susah, tiada siapa dapat menghalang atau mencegahnya.

Oleh itu hanya Allah sahaja ‘Mutafarriq’, bermakna hanya Allah yang berkuasa untuk  memberikan manfaat atau mudarat.

Firman Allah SWT:

“ Jika Allah menimpakan sesuatu kemudaratan kepadamu, maka tiada yang dapat menghilangkannya melainkan Dia sendiri. Dan jika Dia mendatangkan kebaikan kepadamu, maka Dialah yang Maha Berkuasa atas segala sesuatu” (Al An’am: 17)

Dengan sifat-sifat Allah tersebut, maka timbullah kesan tauhid kepada seseorang. Dia hanya takut kepada Allah, dan berani bertindak untuk melakukan sesuatu kerana keyakinannya kepada Allah.

Manusia bersifat fakir

Manusia didunia ini bersifat fakir (tidak memiliki apa-apa), sebaliknya sentiasa memerlukan pertolongan Allah.

Firman Allah SWT di dalam Al-Hadith Al-Qudsi:

“Hai manusia, kamu semua berada didalam kesesatan kecuali mereka yang Aku berikan taufik dan hidayah kepadanya. Oleh itu mintalah hidayah daripada-Ku”

“Hai manusia, kamu semua lapar, kecuali mereka yang Aku berikan makan , oleh itu mintalah rezeki daripada-Ku”.

“Hai manusia, kamu semua telanjang kecuali mereka yang Aku berikan pakaian. Oleh itu mohonlah pakaian daripada-Ku”.

Sifat fakir dan sifat kaya.

Berhajatkan sesuatu adalah sifat semua makhluk. Manusia, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan makhluk lain berhajatkan kepada Allah. Oleh itu semua makhluk bersifat fakir.

Allah Maha Kaya. Dia tidak berhajat kepada sesuatu. Jika manusia memiliki keyakinan ini maka dia akan sentiasa berbaik sangka terhadap Allah.

Firman Allah SWT:

“Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah, dan Allah, Dialah Yang Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu lagi Maha Terpuji” (Fathir : 15).

Fakir adalah sifat yang zati bagi setiap makhluk ciptaan Allah. Kaya adalah sifat zati bagi al-Khaliq (Pencipta).

Al-Quran mengakui adanya tauhid ar-Rububiyyah didalam jiwa manusia.

Al-Quran mengingatkan bahawa fitrah atau jiwa manusia memang telah memiliki rasa mahu mengakui Allah Rabb al-Alamin.

Firman Allah SWT:

“Berkata rasul-rasul mereka: Apakah terdapat keraguan terhadap Allah, pencipta langit

dan bumi” (Ibrahim: 10).

“Dan mereka mengingkarinya kerana kezaliman dan kesombongan (mereka) pada hal hati mereka meyakini (kebenaran)nya.” (An-Naml: 14).

Keengganan dan keingkaran sebahagian manusia untuk mengakui kewujudan Allah sebagai al-Khaliq (Yang Maha Pencipta), sebenarnya didorong oleh perasaan sombong, degil (‘inad) dan

keras hati. Hakikatnya fitrah manusia tidak boleh kosong daripada memiliki perasaan mendalam yang mengakui kewujudan al-Khaliq.

Jika fitrah manusia bersih daripada sombong, degil, keras hati dan selaput-selaput yang menutupinya, maka secara sepontan manusia akan terus menuju kepada Allah tanpa bersusah-payah untuk melakukan sebarang pilihan. Secara langsung lidahnya akan menyebut Allah dan meminta pertolongan daripada-Nya.

Telatah manusia, apabila berada disaat–saat genting, tidak akan terfikir dan terlintas sesuatu di hatinya kecuali Allah sahaja. Ketika itu segenap perasaan dan fikirannya dipusatkan kepada Allah semata-mata. Benarlah firman Allah SWT:

“Dan apabila mereka dilambung ombak, yang besar seperti gunung, mereka menyeru Allah dengan keikhlasan kepada-Nya, maka ketika Allah menyelamatkan mereka lalu sebahagian daripada mereka tetap berada dijalan yang lurus. Dan tiada yang mengingkari ayat-ayat kami selain golongan yang tidak setia lagi ingkar” (Luqman: 32).

Sesungguhnya permasalahan mengenai kewujudan Allah adalah mudah,jelas,terang dan nyata. Kewujudan Allah terbukti dengan dalil yang banyak dan jelas.

Tauhid al-Uluhiyyah

Maksud Tauhid al-Uluhiyyah ialah kita mentauhidkan Allah dalam peribadatan atau persembahan. Allah SWT mengutuskan para rasul bertujuan menyeru manusia menerima tauhid al-Uluhiyyah.

Firman-firman Allah SWT membuktikan hal tersebut:

“Dan kami tidak mengutuskan seorang rasul pun sebelum kamu, melainkan Kami wahyukan kepadanya bahawasanya tiada sesuatupun melainkan Aku”.(Al-Anbiya: 25).

“Dan sesungguhnya kami telah utusakan pada setiap umat itu seorang rasul (untuk menyeru): Sembahlah Allah dan jauhi Taghut” (An-Nahl: 36).

“Dan sesungguhnya Aku telah utuskan Nuh (nabi) kepada kaumnya, lalu dia berkata (menyeru):Wahai kaumku, hendaklah kamu menyembah Allah, (kerana) sesekali tiada sesuatupun melainkan Dia” (Al-Mu’minun: 23).

“Dan (Kami telah mengutuskan) kepada kamu ‘Ad saudara mereka Hud (nabi): hai Kaumku sembahlah Allah, sesekali tiada sesuatu pun bagi kamu selain dari-Nya.

Cetusan rasa cinta kepada Allah.

Menyembah atau beribadah kepada Allah dapat dilaksanakan apabila tercetus rasa cinta yang suci kepada Allah dan rela (ikhlas) menundukkan diri serendah-rendahnya kepada-Nya. Seseorang hamba itu disifatkan sedang menyembah Allah apabila dia menyerahkan seluruh jiwa raga kepada Allah, bertawakal kepada Allah, berpegang teguh kepada ajaran-ajaran Allah, berpaut kepada ketentuan Allah, meminta (mengharap) serta memulang (menyerah) sesuatu hanya kepada Allah, berjinak-jinak dengan Allah dengan cara sentiasa mengingati-Nya, melaksanakan segala syariat Allah dan memelihara segala perlakuan (akhlak, perkataan dan sebagainya) menurut cara-cara yang diredhai Allah.

‘Ubudiyyah yang semakin bertambah.

Pengertian ‘Ubudiyyah  (pengabdian) kepada Allah akan bertambah sebati dan hebat kesannya dalam kehidupan manusia apabila semakin mendalam pengertian dan keinsafannya tentang hakikat manusia itu terlalu fakir di hadapan Allah. Manusia sentiasa bergantung dan berhajat kepada Allah. Manusia tidak boleh lupus daripada kekuasaan dan pertolongan Allah walaupun sekelip mata.

Begitu juga dengan cinta dan kasih (hubb) manusia kepada Allah dan merasa rendah diri (khudu’) manusia kepada Allah yang akan bertambah teguh apabila semakin mantap ma’rifat dan kefahamannya terhadap sifat-sifat Allah, Asma’Allah al-Husna (sifat-sifat Allah yang terpuji), kesempurnaan Allah dan kehebatan nikmat-nikmat kurniaan Allah.

Semakin terisi telaga hati manusia dengan pengertian ‘ubudiyyah terhadap Allah semakin bebaslah dia daripada belenggu ‘ubudiyyah kepada selain daripada Allah. Seterusnya dia akan menjadi seorang hamba yang benar-benar tulus dan ikhlas mengabdikan diri kepada Allah. Itulah setinggi-tinggi darjat yang boleh dicapai oleh seseorang insan.

Allah telah menggambarkan di dalam al-Quran keadaan para rasul-Nya yang mulia dengan sifat-sifat ‘ubudiyyah di peringkat yang tinggi. Allah telah melukiskan rasa ‘ubudiyyah Rasulullah SAW pada malam sewaktu wahyu diturunkan, ketika baginda berda’wah dan semasa baginda mengalami peristiwa Isra’ dan Mi’raj.

Firman Allah SWT:

“Lalu dia menyampaikan kepada hamba-Nya (Muhammad) apa yang telah Allah wahyukan”(An-Najm 10).

“Dan ketika berdiri hamba-Nya (Muhammad) untuk menyembah-Nya (beribadat), hampir saja jin-jin itu mendesak-desak mengerumuninya” (Al-Jin:19).

“Maha Suci Allah yang menjalankan hambanya (Muhammad) pada suatu malam dari Masji al-Haram ke Masjid al-Aqsa” (Al-Isra).

Tauhid ar-Rububiyyah menghubungkan Tauhid al-Uluhiyyah.

Seperti yang telah dinyatakan diatas, Tauhid al-Rububiyyah ialah mengakui keesaan Allah sebagai Rabb, Tuan, Pencipta dan Pengurnia secara mutlak. Tidak ada sekutu bagi-Nya di dalam Rububiyyah.

Sesungguhnya kesanggupan dan kesediaan manusia mentauhidkan Allah dari segi Rububiyyah dengan segala pengertiannya akan menghubungkan atau menyebabkan manusia mengakui Tauhid al-Uluhiyyah iaitu mengesakan Allah dalam pengabdian. Secara sepontan pula manusia akan mengakui bahawa Allah sahaja layak disembah, selain daripada-Nya tidak layak disembah walau dalam apa bentuk sekalipun.

Al-Quran terlebih dahulu memperingatkan orang-orang musyrik Quraisy agar mengakui Tauhid ar-Rububiyyah. Apabila mereka menerima tauhid ar-Rububiyyah dan bersungguh-sungguh mengakuinya, maka terbinalah jambatan yang menghubungkan mereka dengan Tauhid al-Uluhiyyah. Hakikat ini jelas dan tidak boleh dicuai atau diselindungkan lagi.

Firman Allah:

“Apakah mereka mempersekutukan Allah dengan berhala-berhala yang tidak dapat menciptakan sesuatu apapun? Sedangkan berhala-berhala tersebut adalah buatan manusia” (Al-A’raf: 191).

“Apakah (Allah) yang menciptakan segala sesuatu itu sama dengan yang tidak dapat menciptakan (apa-apa)? Maka mengapakah kamu tidak mengambil pangajaran?” (An-Nahl: 17)

“Hai manusia, telah dibuat perumpamaan, maka dengarlah olehmu perumpamaan itu. Sesungguhnya segala sesuatu yang kamu seru selain daripada Allah tidak dapat menciptakan seekor lalat, walaupun mereka bersatu untuk menciptakannya. Dan jika lalat itu merampas sesuatu daripada mereka, tiada mereka dapat merebutnya kembali daripada lalat itu. Amat lemahlah yang menyembah dan amat lemahlah yang disembah” (Al-Hajj: 37).

Ayat-ayat tersebut mengingatkan orang-orang musyrikin mengenai suatu hakikat yang nyata iaitu sembahan-sembahan adalah lemah, malah tidak berkuasa untuk mencipta sesuatu pun walaupun seekor lalat. Jika lalat itu merampas atau mengambil sesuatu dari mereka,maka mereka tidak berkuasa untuk mendapatkannya kembali. Ini menunjukkan betapa lemah yang meminta dan lemah pula yang dipinta. Oleh itu akal yang sejahtera tidak boleh menerima penyembahan selain Allah. Dalam peribadatan mereka tidak boleh mempersekutukan sesuatu dengan Allah. Allah adalah al-Khaliq Yang Esa. Selain daripada-Nya adalah lemah dan daif belaka.

Sembahan-sembahan palsu yang tidak memiliki apa-apa

Al-Quran menghujah dan mengingatkan orang-orang musyrikin bahawa apa yang mereka sembah selain daripada Allah tidak memiliki sebutir atom pun sama ada di bumi mahupun di laut. Malah sembahan mereka sama sekali tidak menyamai Allah walaupun sebesar zarah sama ada di bumi mahupun di langit. Allah tidak mempunyai apa-apa keperluan dengan sembahan-sembahan palsu yang mereka sembah. Jika mereka menyedari hakikat ini, mereka akan merasai kewajipan untuk beribadat dengan lebih ikhlas kepada Allah semata-mata.

Firman Allah SWT:

“Katakanlah: Serulah mereka yang kamu anggap (sembahanmu) selain Allah, mereka tidak memiliki (kekuasaan) seberat zarah pun di langit dan di bumi. Jika begitulah pengitirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya. Firman Allah SWT:

Al-Quran mengakui bahawa orang-orang musyrikin mengiktiraf sebahagian daripada Rububiyyah Allah seperti Allah itu pemilik langit dan bumi, dan Allah Pengurus kejadian-kejadian di langit serta di bumi. Jika begitulah pengitirafan mereka, sepatutnya mereka beriman dan menyembah Allah tanpa mempersekutukan-Nya.

Firman Allah:

“Katakanlah (kepada mereka): kepunyaan siapa bumi ini, dan semua yang ada padanya jika kamu mengetahui? Mereka akan menjawab: Kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak ingat?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang mempunyai langit yang tujuh dan yang empunya ‘arasy yang besar? Mereka akan menjawab; kepunyaan Allah. Katakanlah (kepada mereka): Apakah kamu tidak bertaqwa?

“Katakanlah (kepada mereka): Siapakah yang dengan-Nya berada segala kekuasaan sedangkan Dia melindungi, tetapi tidak ada yang dapat dilindungi daripada azab-Nya? Mereka akan menjawab: kepunyaan Allah. Katakanlah ( kepada mereka): (Oleh yang demikian) dari jalan mana kamu ditipu?

“Sebenarnya Kami telah membawa kebenaran kepada mereka dan sesungguhnya mereka sebenarnya orang-orang yang berdusta” (Al-Mu’minun: 84-90).

Sains dan akidah tauhid

Penemuan-penemuan dalam bidang sains dan teknologi mengenai alam buana, atom, manusia, tumbuhan-tumbuhan dalam pelbagai bidang industri telah berjaya menyingkap keindahan dan  ketelitian ciptaan Allah. Penemuan-penemuan dan rekaan-rekaan baru itu menguatkan lagi ajaran akidah tauhid dan meneguhkan lagi keimanan orang-orang mu’min. Hasil-hasil kajian itu menunjukkan kebesaran dan keluasan kudrat serta ilmu Allah. Sesungguhnya disebalik kehalusan ciptaan dan keindahan sistem sejagat ini pasti ada Penciptanya Yang Maha Besar dan Maha Berkuasa.

Kedudukan tauhid dalam Islam

Keseluruhan ajaran islam berasaskan tauhid. Keseluruhan kandungan al-Quran berlegar di atas tauhid. Kandungan ayat-ayat al-Quran meliputi pengkhabaran tentang Allah, sifat-sifat Allah, kejadian Allah, perbuatan Allah dan pentabdiran Allah.

Al-Quran membincangkan tentang al-amr (perintah) dan anbiya’ Allah (nabi-nabi Allah) kerana kedua-duanya ada kaitan dengan penciptaan dan kekuasaan Allah terhadap makhluk-Nya.

Al-Quran menerangkan segala bentuk balasan baik (pahala) untuk mereka yang mentaati Allah, Rasul dan syariat-Nya. Semua ini untuk mengajak mereka menegakkan Tauhid al-Uluhiyyah dan Tauhid ar-Rububiyyah.

Al-Quran menerangkan segala bentuk mengenai balasan siksa (dosa) untuk mereka yang tidak mematuhi syariat-Nya, menceritakan cerita orang-orang zaman dahulu yang telah menderhakai Allah. Semua ini untuk menjelaskan bahawa manusia perlu kembali pada dasar tauhid dan ibadah kepada Allah.

Oleh itu tauhid adalah intipati atau asas Islam. Daripada tauhid terpancar segala sistem, perintah, hukum dan peraturan. Semua ibadat dan hukum dalam Islam bertujuan untuk menambah, memahir, menguat dan mengukuhkan lagi tauhid di dalam hati orang-orang mu’min.

Dengan Tauhid seluruh dorongan manusia akan terbentuk

Dengan tauhid yang kuat, maka terbentuklah pelbagai dorongan yang ada dalam jiwa manusia. Dia akan takut hanya kepada Allah SWT dan berani mempertahankan keyakinannya seperti yang dipersaksikan dalam sirah Rasulullah dan para sahabat:

  1. Rasulullah SAW pernah memerintahkan Saidina Ali RA agar tidur di atas katilnya sebelum baginda keluar berhijrah ke Madinah, sedangkan musuh Islam begitu giat mengintip. Namun Saidina Ali sanggup berbuat mengikut perintah Rasulullah SAW kerana beliau yakin atas Kehendak dan Kekuasaan Allah.
  2. Saidina Khalid bin al-Walid RA pernah mengalami banyak calar dan luka pada badannya kerana berperang di jalan Allah. Namun dia tetap yakin dengan Kekuasaan Allah. Dia tetap meneruskan pertempuran melawan musuh.
  3. Bilal bin Rabah RA sanggup diheret di padang pasir, dijemur dibawah kepanasan matahari dan di seksa dengan batu besar diletakkan di atas tubuhnya. Dia tetap mempertahankan keimanannya.

Kini, ramai manusia yang kehilangan keyakinan ini. Mereka masih yakin kepada yang lain selain Allah. Mereka takut kepada kegagalan, ketua, kematian dan sebagainya.

Oleh itu menjadi kewajipan bagi pendakwah-pendakwah Islam untuk mengembalikan manusia kepada keyakinan yang betul.

Syahadah ( persaksian bahawa Nabi Muhammad itu Rasulullah)

Syahadah ini menuntut manusia mengetahui, membenar dan meyakini dengan muktamad (dengan I’tiqad yang jazim serta pegangan yang putus) bahawa Nabi Muhammad SAW adalah Rasulullah serta membuktikannya dengan perkataan dan perbuatan sekaligus.

Pembuktian dengan perkataan ialah melafazkan kalimah syahadah itu dengan lidah. Pembuktian dengan perbuatan ialah menegakkan tingkah laku (tatasusila) dan seluruh tindak tanduk yang bersesuaian dengan ajaran Nabi Muhammad SAW serta menuruti jejak langkah baginda.

Para rasul menegakkan tauhid.

Pada dasarnya pengutusan para rasul bertujuan untuk mengeesakan Allah dalam tauhid ar-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah. Dialah sebenarnya Rabb al-Alamin dan As-Sayyid (Tuan) para rasul tersebut. Tiada sesuatupun yang sebenar-benarnya melainkan Allah. Tauhid ar-Rububiyyah dan Tauhid al-Uluhiyyah menjelaskan kekuasaan Allah yang Maha Suci dalam pentabdiran urusan makhluk-Nya. Allah Pengurnia keselamatan dan kebaikan. Allah Penentu al-amr (perintah). Allah-lah pengutus ar-Rasul untuk makhluk-Nya.

Manusia memerlukan rasul untuk mencapai kesempurnaan hidup

Tidak syak lagi untuk mencapai kesempurnaan hidup, manusia bukan sahaja berkehendakkan kepada makanan, pakaian, tempat berlindung dan keperluan-keperluan jasmani yang lain, bahkan manusia juga berkehendakkan sesuatu untuk memenuhi tuntutan roh. Dengan memenuhi tuntutan roh, manusia akan mencapai taraf kesempurnaan sebagai manusia yang mulia dan berbeza dengan makhluk-makhluk yang lain.

Tugas para rasul adalah untuk memberitahu manusia bahawa Allah adalah penciptanya yang layak disembah dan Dialah yang meletakkan manusia ke jalan yang lurus (sirat al-mustaqim).

Dengan keyakinan ini barulah manusia dapat sampai ke jalan kebahagiaan dan kesempurnaan yang sebenar.

Manusia sendiri tidak dapat mengetahui perkara-perkara ghaib mengenai Pencipta dan al-mustaqim dengan mengunakan kudrat dan akalnya yang lemah. Manusia kerap melakukan kesilapan. Untuk memikirkan mengenai Pencipta dan sirat al-mustaqim adalah diluar kemampuan akal manusia. Oleh itu,pengutusan para rasul Allah menunjukkan

kebijaksanaan-Nya dan merupakan rahmat yang amat besar untuk umat manusia. Para rasul Allah dilantik daripada golongan manusia sendiri supaya mereka dapat menggunakan kebiasaan dan bahasa yang dapat difahami oleh manusia. Seterusnya menyampaikan ajaran Allah, menjelaskan cara-cara untuk sampai kepada risalah-Nya dan menghuraikan cara mana untuk mencapai kebahagian dunia dan akhirat.

Sungguh tidak patut sikap manusia sekiranya dia mengingkari Rasul Allah SWT.

Firman Allah:

“Dan mereka tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajarnya ketika mana mereka berkata: Allah tidak menurunkan sesuatu pun untuk manusia” (Al-An’am: 91)

Mengingkari kenabian Nabi Muhammad adalah kesalahan yang besar

Mengingkari kenabian Nabi Muhammad SAW setelah nyata dalil-dalil mengenai kebenaran dan kenabiannya bererti merendahkan dan melemahkan akal manusia. Sikap seperti ini merupakan keingkaran yang sangat buruk, kedegilan yang sangat tebal dan dosa yang sangat besar. Allah akan membalas sikap sebegini dengan balasan yang pedih.

Mengisbatkan (Mensabitkan) kenabian Muhammad SAW

Seseorang tidak boleh mendakwa bahawa dia nampak bintang-bintang di langit sekiranya dia mengingkari kewujudan matahari, sedangkan dia nampak matahari. Kalau dia mendakwa dan percaya juga, itu bertentangan dengan keimanannya terhadap apa yang dilihatnya. Begitu juga seseorang tidak boleh beriman kepada nabi-nabi lain sekiranya dia tidak mempercayai Nabi Muhammad SAW dan mengingkari kenabiannya.

Mengisbatkan (mensabitkan) kenabian Muhammad SAW bererti mensabitkan juga kenabian seluruh para anbiya’ AS sepertimana yang tersebut di dalam al-Quran.

Oleh itu mengingkari perutusan sebarang rasul bererti membohongi sebahagian daripada apa yang terkandung di dalam al-Quran dan mengingkari risalah Islam.

Kesan dan implikasi keimanan kepada Nabi Muhammad SAW

Mengimani Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul bererti mengimani secara mutlak dan sempurna bahawa segala perkara yang dibawa dan dikhabarkan oleh baginda datang daripada Allah SWT. Implikasinya agar manusia wajib memberi dan mentaati segala suruhan dan larangan Nabi Muhammad SAW dengan penuh redha dan ikhlas, tanpa was-was, tanpa rasa keberatan dan tanpa rasa terpaksa.

Manusia perlu taat sepenuhnya kepada ajaran Nabi Muhammad SAW tanpa menimbulkan suasana berhujah, berdebat dan berbincang, seolah-olah ajaran itu datang daripada seorang manusia biasa. Beriman dengan Nabi Muhammad SAW tidak boleh sama sekali dengan mempercayai atau mengambil sebahagian dan meninggalkan sebahagian daripada ajarannya.

Sikap sebegini adalah berlawanan dengan natijah yang sepatutnya lahir daripada keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW. Al-Quran kerap menyatakan nas-nas tentang implikasi keimanan terhadap Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah:

“Dan taatilah Allah dan Rasul, supaya kamu diberikan rahmat” (Ali ‘Imran: 132)

“Katakanlah: Jika kamu benar-benar mencintai Allah, ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi dan mengampuni dosa-dosa kamu” (Ali ‘Imran: 31)

‘Katakanlah: taatilah Allah dan Rasul-Nya.Jika kamu berpaling, maka sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang yang kafir” (Ali-Imran: 32)

“Sesiapa yang telah mentaati Rasul maka sesungguhnya ia telah mentaati Allah” (An-Nisa: 80)

“Sesungguhnya jawapan orang-orang mukmin, bila mereka dipanggil kepada Allah dan Rasul-Nya agar rasul menghukum (mengadili) di antara mereka, lalu mereka berkata: Kami dengar dan kami patuh. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung” (An-Nur: 51)

“Dan sesiapa yang taat kepada Allah dan Rasul-Nya, nescaya Allah akan memasukkannya kedalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai dan sesiapa yang berpaling nescaya Dia akan mengazab kamu dengan azab yang pedih” (Al-Fath: 17)

“Apa yang diberikan Rasul kepadamu terimalah, dan apa yang dilarang bagimu maka tinggallah” (Al-Hasyr: 7)

“Dan tidak patut bagi lelaki mukmin dan perempuan-perempuan mu’minah, apabila Allah dan Rasul-Nya menetapkan suatu ketetapan, ada pilihan lain bagi mereka tentang urusan mereka” (Al-Ahzab: 36)

“Maka demi Rabbmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga menjadikan kamu sebagai hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudia mereka tidak merasa sesuatu kebenaran terhadap keputusan yang kamu berikan, dan mereka menerima sepenuhnya” (An-Nisa: 65)

“Maka hendaklah orang-orang yang menyalahi perintah-Nya takut akan ditimpakan cubaan atau ditimpakan azab yang pedih” (An-Nur: 63)

Nas-nas yang tersebut di atas sememangnya banyak di dalam al-Quran yang mengingatkan orang-orang beriman akan tanggungjawab mereka selepas beriman kepada Muhammad SAW sebagai Nabi dan Rasul. Antaranya:

  1. Nas-nas itu itu menyuruh manusia mentaati Nabi Muhammad SAW, kerana taatkan baginda bererti taatkan Allah SWT. Balasan orang yang mentaatinya ialah Syurga an-Na’im dan balasan orang yang mengingkarinya ialah Neraka.
  2. Nas-nas ini menerangkan kepada orang-orang mukmin bahwa beriman kepada Nabi Muhammad SAW bererti mengikut apa yang disuruhnya dan meninggalkan apa yang dilarangnya.
  3. Nas-nas ini menyuruh orang Islam yang bertelingkah pendapat agar kembali kepada Allah dan Rasul-Nya serta redha menuruti hukum Rasulullah SAW.

Natijah logik

Semua yang dinyatakan dalam nas-nas al-Quran adalah natijah logik bagi seseorang yang beriman dengan Nabi Muhammad SAW serta menerima rela akan kerasulannya. Suatu hal yang tidak di terima akal dan bertentangan jika seseorang itu beriman kepada Nabi Muhammad SAW tetapi menentang atau tidak menerima dengan rela hati perkara yang dibawanya dengan alasan, misalnya, tidak sesuai dengan sesuatu kepercayaan.

Umpama seorang yang telah menaruh kepercayaan terhadap seorang doktor mahir, sudah tentu dia menerima nasihat doktor itu dan mengikuti cara pengubatannya. Dia akan mematuhi cara-cara memakan ubat dan segala pantang larang. Dia tidak boleh menentang atau membahaskan kata-kata doktor pakar itu. Jika kepatuhan dan kerelaan seorang pesakit terhadap doktor adalah suatu yang dianggap lumrah dan munasabah, padahal doktor itu mungkin tersalah, maka bagaimana pula sikap seseorang terhadap Rasulullah yang diutuskan oleh Allah SWT, sedangkan Rasulullah adalah penghulu bagi segala doktor.

Kewajipan terhadap Rasulullah SAW

Kewajipan seorang muslim terhadap Rasulullah ialah membenarkan semua yang dibawanya, mematuhi segala yang diperintah dan meninggalkan segala yang dilarangnya. Seseorang muslim itu hendaklah menerima ajaran baginda dengan sempurna, ikhlas dan rela seperti ynag telah dinyatakan.

Kewajipan-kewajipan lain ialah:

1. Mengasihi atau mencintai Rasulullah SAW lebih daripada mengasihi atau mencintai diri, anak, isteri, harta dan isi alam.

Sabda Rasulullah SAW:

“Tidak sempurna iman seseorang kamu sehinggalah dia sanggup menjadikan aku lebih daripada dirinya, anaknya, hartanya dan manusia seluruhnya”.

Tanda manusia yang benar-benar mengasihi Rasulullah SAW ialah mengikuti baginda dengan penuh ikhlas. Dia segera mengerjakan apa yang disukai atau dikasihi baginda. Itulah tanda-tanda manusia yang benar-benar kasihkan Rasulullah SAW.

Firman Allah SWT:

“Mereka bersumpah kepada kamu dengan nama Allah untuk mencari keredhaanmu, padahal Allah dan Rasul-Nya itulah yang patut mereka cari keredhaannya jika mereka itu adalah orang-orang yang beriman” (At-Taubah: 62)

2. Menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW sama ada ketika baginda masih hidup atau pun telah wafat.

Firman Allah:

“Janganlah kamu jadikan panggilan Rasul di antara kamu seperti panggilan sebahagian kamu kepada sebahagian yang lain” (An-Nur: 63)

Rasulullah SAW bukanlah seperti manusia biasa. Baginda adalah Nabi dan Rasul. Rasulullah di utuskan untuk seluruh manusia. Maka wajarlah manusia membesar dan memuliakan baginda sehingga apabila memanggil baginda hendaklah memanggil “Ya Rasulullah”, “Ya Nabiyullah”, “Ya Habibullah” dan sebagainya.

Antara cara menghormati dan memuliakan Rasulullah SAW ialah tidak mendahului baginda semasa bercakap dan tidak meninggikan suara.

Firman Allah:

“Hai orang-orang yang beriman jangan kamu mendahului Allah dan Rasul-Nya dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui. Hai orang-orang yang beriman janganlah kamu meninggikan suaramu lebih daripada suara Nabi dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sepertimana kerasnya suara sebahagian daripada kamu kepada sebahagian yang lain, supaya tidak terhapus pahala amalan kamu sedangkan kamu tidak menyedarinya. Sesungguhnya orang-orang yang merendahkan suara disisi Rasulullah mereka itulah orang-orang yang telah diuji hati mereka untuk bertaqwa. Bagi mereka keampunan dan pahala yang besar”. (Al-Hujurat: 1-3)

Menghormati dan memuliakan Nabi perlu terus berlanjutan sehingga selepas kewafatan baginda. Seseorang muslim tidak boleh mengangkat suara di dalam Masjid an-Nabawi atau di sisi maqam baginda. Seseorang muslim wajib bersopan, bersungguh-sungguh dan redha ketika mendengar hadith baginda yang mulia. Seseorang muslim tidak boleh menafi atau menentang hadith-hadith baginda dengan pendapat-pendapat atau dengan fikiran-fikiran yang karut dan menyesatkan. Jika seseorang muslim itu mendengar “Qala Rasulullah SAW (Sabda Rasulullah SAW), maka hendaklah dia memahami bahawa sabda baginda tidak boleh dibohongi oleh manusia. Oleh itu ia tidak boleh ditentang, bahkan hendaklah didengar, difahami dan diamalkan.

3. Bersungguh-sungguh menghindarkan apa-apa yng boleh menyakiti Rasulullah Nabi SAW sama ada sedikit atau banyak. Menyakiti Rasulullah SAW adalah haram dan berdosa. Malah, menyakitinya boleh menyebabkan seseorang itu terkeluar daripada Islam.

Firman Allah SWT:

“Dan tidak boleh kamu menyakiti hati Rasulullah” (Al Ahzab: 53)

“Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu bagi mereka azab yang pedih” (At-Taubah: 61)

Termasuk dalam pengertian menyakiti Rasulullah SAW ialah menghina atau mencerca para isteri baginda yang mulia. Isteri-isteri Rasulullah adalah “Ibu Orang-Orang Yang Beriman”. Begitu juga, dianggap menyakiti Rasulullah, sekiranya seseorang menghina atau mencerca “Ahl al-Bait” baginda.

4. Membaca selawat dan salam kepada Nabi Muhammad SAW.

Firman Allah SWT:

“Sesungguhnya Allah dan para malaikat-Nya berselawat untuk Nabi. Hai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepada Nabi dan ucaplah salam dengan penuh penghormatan kepadanya” (Al-Ahzab: 56).


Respon

  1. waalaikumsalam…insyaAllah boleh, tiada masalah. Ilmu Allah hak bersama. Saudara bagi alamat dan no telefon insyaAllah saya akan hubungi…


Tinggalkan Jawapan

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Tukar )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Tukar )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Tukar )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

Kategori

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

%d bloggers like this: